MENU
 

Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.

Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.

Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

Tips
Ini adalah taman tema pertama di dunia mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Layari laman web:www.tti.com.my

Pengangkutan Awam

  • Teksi, Pengangkutan Awam
    Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman ini sudah beroperasi. Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.
  • Bot penambang
    Pelawat juga boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman itu.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pejabat Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang 21000 Kuala Terengganu, Terengganu Tel: +609 627 8888 Faks: +609 630 9020. Anda juga bleh hubungi Pejabat Tourism Malaysia Terengganu di talian : +609-622 1433 / 1893.

Penginapan
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Kuala Terengganu bagi para pengunjung ke bandar ini.