MENU
 

MBKT telah mengambil langkah proaktif bagi kerja-kerja kutipan sampah di seluruh kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan mengadakan operasi bersepadu bersama semua kontraktor kutipan sampah di semua zon semasa cuti Perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Operasi bersepadu ini turut melibatkan kerjasama daripada Pejabat Daerah Kuala Terengganu bagi bantuan khidmat jentera yang turut digunakan bagi melancarkan kerja-kerja kutipan ini.

        MBKT juga turut mengadakan operasi dan mempergiatkan usaha bagi mengesan mana-mana pemilik industri, kedai dan syarikat komersial serta orang awam yang melakukan kesalahan membuang sampah pukal seperti perabot, tayar terpakai, sisa kebun, dan juga sisa industri seperti bahan binaan di tempat pembuangan sampah awam. Operasi pengesanan ini dilakukan melalui pemantauan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Persekitaran dan juga anggota penguatkuasa MBKT serta melalui aduan orang awam sebelum intipan dan pemeriksaan dilokasi yang dinyatakan.

       Sebagai makluman, adalah menjadi satu kesalahan apabila sampah-sampah pukal tersebut dibuang di pusat pembuangan sampah awam. Sisa sampah pukal tersebut sepatutnya menjadi tanggungjawab pemilik industri, kedai, syarikat komersial dan orang awam untuk membuang dan melupuskan sisa pukal tersebut di tapak pelupusan sampah dengan kaedah melantik mana-mana kontraktor kebersihan untuk menguruskan sampah pukal tersebut terus ke tapak pelupusan sampah dan bukannya dibuang di pusat pembuangan sampah awam yang boleh menyebabkan timbunan sampah yang melampau. Pemilik industri, kedai dan syarikat komersial perlu mengambil cakna berkenaan sampah pukal ini dan perlu tahu di mana sampah pukal ini patut dibuang.

       MBKT juga menyeru kepada semua orang awam untuk membuat aduan sekiranya berlaku aktiviti pembuangan sampah pukal dengan mengambil gambar atau video supaya tindakan penguatkuasaan daripada MBKT dapat dilakukan ke atas pihak terbabit. MBKT akan terus menjalankan dan mengambil langkah proaktif secara bersepadu berkaitan kerja-kerja kutipan sampah ini secara berterusan dan tidak terhad pada musim-musim perayaan sahaja dalam usaha untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti kutipan sampah serta memberi keselesaan kepada seluruh warga bandaraya.

KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

#pakatjagebandarayakite

OPERASI BERSEPADU KUTIPAN SAMPAH SEMPENA CUTI TAHUN BAHARU CINA 2023

[ GALERI FOTO ]