Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh
Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah kita dapat menempuhi pelbagai ujian dan dugaan sepanjang berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bagi meraikan kemenangan ini, Syawal disambut untuk kita raikan bersama keluarga dan insan yang tersayang.
Justeru, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini membawa pengertian kebersihan jiwa dan kesucian hati serta kesegaran tubuh dan minda. Tradisi ziarah-menziarahi yang menjadi amalan kita selama ini perlu diteruskan bagi terus mengukuhkan hubungan silaturahim sesame kita. Runtuhkan tembok prasangka dan bukalah seluas-luasnya pintu hati untuk menerima kunjungan ahli keluarga dan rakan-rakan yang berkunjung. Buangkan segala yang masih kusut, perbetulkan mana yang silap dan jernihkanlah apa yang keruh. Ambilah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini sebagai medan untuk kita saling bermaafan antara satu sama lain.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna di kampung halaman, kepada yang meraikan Hari Raya Aidilfitri dikampung halaman, rancang perjalanan anda dengan baik semoga selamat sampai ke destinasi. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
Akhir kata, saya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan seluruh warga MBKT dengan rasa rendah hati mengambil kesempatan ini memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1439H, Maaf Zahir Batin
Tuan Haji Samiun bin Salleh
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu