Semua pasar malam dan gerai jalanan di negeri ini akan dinaik taraf sebagai pasar malam eksklusif mulai tahun depan bertujuan menjaga kebersihan Terengganu dan kesihatan pelanggan.
Menteri Besar, Dato' Ahmad Razif Abd Rahman, berkata buat permulaan, pihaknya akan membangunkan projek itu di sekitar Kuala Terenganu dengan menjadikan Pasar Malam Kuala Ibai, Pasar Malam Shahbandar dan gerai jalanan Kuala Ibai serta Batu Buruk sebagai `projek contoh'.
Katanya, peniaga berkaitan terlebih perlu menghadiri kursus asas perniagaan yang dianjurkan secara percuma sebelum dibenarkan berniaga di pasar malam esklusif itu.
"Langkah itu dianggap penting bagi memberi pengetahuan lebih mendalam tentang penjagaan kesihatan, layanan pelanggan dan kawalan harga. "Semua peniaga juga perlu memiliki lesen perniagaan dan kad rekod kesihatan," katanya.
Dato' Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan kebersihan sekitar Taman Awam Batu Buruk dan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, hari ini.
Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To' Puan Halina Zakaria dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Adzlan Mohd Dagang. Dato' Ahmad Razif turut memberitahu perstrukturan semula pasar malam dan gerai jalanan itu, mampu menjadikan pesekitaran Terengganu lebih bersih dan tersusun.
Katanya, dia tidak mahu lagi melihat, ada peniaga masih berdegil dengan membuka gerai sesuka hati, terutama di kali lima jalan raya, tepi bangunan dan taman permainan.
"Saya serius mahu menangani masalah ini kerana sering melihat selepas berniaga mereka akan meninggalkan sisa minyak, sampah sarap dibiarkan bertaburan dan kelengkapan berniaga dibiarkan tanpa pengawasan.
"Jika keadaan itu dibiarkan berterusan , sukar untuk kita menjaga kebersihan negeri, selain tidak elok dipandang pelancong luar," katanya.
Sumber daripada : Berita Harian Online
[ Photo Gallery ]